Nasi lemak memang dah jadi sarapan keluarga aku sejak dulu.
Kebiasaannya memang kami beli di kedai, dan seingat aku mak tak pernah masak sendiri pun di rumah.
Aku rasa sangat bertuah sebab sempat rasa nasi lemak sejak kanak-kanak.

Menjengah alam sekolah menengah, aku mula mengenal apa yang tak sedap pasal nasi lemak.
Ya Allah betapa kami satu asrama Sekolah Izzuddin Shah dihidangkan dengan makanan yang tak sedap itu!
Nasi lemaknya memang la tak jadi, dan seperti biasa alasan masakan “large scale” ni memang payah nak bagi betul-betul sedap selalu menjadi sebutan guru-guru apatah lagi petugas-petugas dewan makan. Tidak pernah aku lupakan, sambalnya cair, disertakan dengan tahi-tahi ikan bilis sekali! Sekali lagi alasan yang sama, “Takkan lah nak kopek ikan bilis untuk beratus-ratus orang nak makan?”

Datang Kuala Lumpur, aku makin pelik sebab ada budaya makan nasi lemak waktu malam.
Memang aku tak dapat sesuaikan diri dengan rutin ini, boleh dibilang dengan jari berapa kali sangat aku makan nasi lemak pada waktu malam di gerai-gerai makanan.
Nasi lemak bukan sekadar lagi Nasi+sambal ikan bilis+timun+telur rebus;
tetapi ayam goreng, sambal sotong, sambal udang, lampung, kangkung pun ada!

Hinggalah malam jamuan rumah terbuka tempoh hari di rumah abang kepada annidxam,
aku macam terkasima betapa sedapnya makanan yang bernama nasi lemak itu!
Nasi dan sambalnya sungguh sempurna!
dan pada ketika itulah aku menemukan sebab sebenar kenapa aku memang jarang makan nasi lemak di Kuala Lumpur, bukan sebab rutin yang berbeza, menggemukkan atau lauk yang berlebih-lebihan apatah lagi harganya yang mahal, namun sebab yang paling uatama ialah:-
NASI LEMAK KUALA LUMPUR TAK SEDAP LANGSUNG!
Tak pernah memenuhi piawaian Nasi Lemak yang aku nikmati di kampung sejak kecil dulu!

Nasi lemak masakan *kakak ipar nizam memang mengimbau memori!
Dan aku sangat bersetuju dengan Nizam bahawa nasi lemak yang penting hanya dua; nasi dan juga sambalnya sahaja!
Nizam juga mengutarakan beza sambal ikan bilis kakaknya dengan sambal ikan bilis nasi lemak KL, biasanya memang orang KL asingkan sambal dengan ikan bilis goreng.
Tetapi tidak untuk sambal nasi lemak di kampung aku juga masakan kakak ipar Nizam,
ikan bilis memang dimasak sekali dengan sambal, aku dah jarang jumpa nasi lemak macam ni di KL, aku tak ingat pun kalau ada!

Aku teringat pasal nasi lemak ni pun sebab kebetulan pagi tadi aku harus bangkit awal sebab nak bersiap untuk satu temuduga, tergerak hati nak cari sarapan kat gerai-gerai depan Greenwood ni. Ntah macam mana teringin pulak nak makan nasi lemak, lalu salah satu kedai tu menjadi pilihan aku.

Nak tau, ikan bilis yang menjadi elemen terpenting nasi lemak tu dah la dicampur dengan kacang tanah, dicedok sekali sahaja ke dalam bungkusan, ikan bilisnya adalah 2-3 ketul, yang lebih hanyalah kacang, itupun dalam 8 biji. Macam biasa sambal pun dicedok dari bekas lain sebelum sempat aku tegur aku tak nak sambal cair tu tapi nak ganti dengan sambal kerang, hmmm peniaga yang tak hargai pelanggan langsung! Dah tu bila di tambah sambal kerang tu kan dah banjir! Tu pun cedok minyak je lebih… “Oii, akak ni nak berniaga elok2 la!”, kata aku dalam hati.

Hmm balik rumah, makan2, untuk harga RM2.50 :- memang satu penghinaan kepada pelanggan! Tak la sedap sangat pun! Biasa je nasi lemak dia (bak kata iklan raya Ribena), biasa yang tak berapa nak sedap tu la…

Lalu aku pun terfikir, sudah sekian lama kita mementingkan benda yang tidak penting.
Nasi lemak yang penting hanyalah rasa nasi dan rasa sambal ikan bilisnya.
Semudah itu!
Kalau kita benar-benar mahu hidangkan nasi lemak kepada pelanggan, sesungguh hati kita berusaha menyedapkan sambal dan nasinya.
Namun sebaliknya kita terus mereka-reka, menambah-nambah, sampai mengabaikan terus elemen asas tadi!

Banyak je perkara-perkara yang kita lebih-lebihkan penjenamaannya tapi elemen terpentingnya kita bukan peduli pun.
Macam konsep ‘perpaduan’ terbaru inspirasi orang nombor satu negara sekarang.
Whatever la konsep tu… malas nak layan!
Islam Hadhari pi mana? Hmmm, ditongsampahkan dengan pencetusnya sekali!

*kebetulan kakak ipar nizam pun sekampung dengan aku  :)