[Sehari sebelum malam anugerah]

Ahhh.. banyaknya tak sempat aku sempurnakan!
Pagi itu aku berjaya dapatkan juga peluang menggunakan bilik tayangan media sekolah.
Hanya inilah satu-satunya cara yang tinggal bagi aku untuk membetulkan
atau sekurang-kurangnya mengingatkan mereka tentang kesalahan-kesalahan dalam persembahan supaya mereka tak ulangi.
Masing-masing aku suruh bawa pen sendiri, seorang satu kertas Double A aku bekalkan.
“Lipat dua memanjang, belah kiri tulis ‘kesalahan kumpulan’, belah kanan tulis ‘kesalahan sendiri’,
bahagian belakang kertas pula sebelah kiri tulis ‘to do list’, dan belah kanan tulis ‘moral of the story’, ” arahku.

Sambil aku pertontonkan video rakaman raptai mereka, sambil aku suruh mereka take note apa yang bagus, apa yang perlu diperbaiki. Adalah pula yang mengira-ngira senarai dan membanding-bandingkan kesalahan individu yang makin bertambah-tambah sepanjang 4 minit lebih video berlangsung. Harap dengan menulis, mereka lebih ingat apa yang perlu mereka perbaiki.

Malangnya sessi itu berlangsung menjangkau waktu rehat!
Apakan daya, terpaksa juga aku tahan mereka untuk tidak keluar rehat
sebab aku perlu tambah ’shout’ atau sorak dalam ragam seri bunian bagi memeriahkan persembahan yang tampak sunyi.
Setelah diulang-latih beberapa kali, masa rehat pun habis… kesian budak-budak tu.

4-5 orang budak menuruti aku ke kantin untuk mengalas perut walaupun berdepan dengan sergahan cikgu-cikgu sementelahan waktu rehat telah pun habis.
“Ala, nanti cikgu ‘backing’ la kitorang, ye cikgu!” aku sekadar diam mempersetujui.
2-3 orang pula sanggup berkaki ayam ke kantin yang agak jauh dari bangunan kelas mereka,
“Malaslah cikgu! Nanti raptai kejap lagi pun nak bukak balik kasut…hehehe..”

Raptai kali ini memperlihatkan Afif dengan Adel melakukan kesilapan yang agak nyata.
Yang kelakarnya, Afif sendiri ketawa tak henti-henti apabila menonton kembali rakaman persembahan mereka, aksi blurr berdiri tak buat apa beberapa saat itu memang lawak sangat! hahaha Alhamdulillah, kesalahan yang aku suruh mereka tulis pagi itu nampaknya mereka tak ulang, dan ’shout’ sewaktu seri bunian berjaya walaupun 2-3 orang terlupa.

Petang itu dalam jam 4.30 petang barulah Azlan, pembantu aku merangkap tukang jahit sampai bersama seluar putih yang akan dipadankan dengan baju teluk belanga merah mereka yang telah siap lebih awal. Sesi ‘fitting’ sungguh memakan masa dan memenatkan! Bayangkanlah bagai perlu menyiapkan 14 orang anak pada hari pertama ke sekolah … semua harus dipakaikan! Daripada songkok, sampin, baju dan seluar. Memang berpeluh-peluh aku dibuatnya! Dalam jam menghampiri 5.15 petang akhirnya siaplah mereka walau berbaki beberapa orang lagi yang seluarnya tidak muat! Full dress training tetap diteruskan bagi memastikan mereka selesa dengan pakaian itu, atau penyesuaian dan pembaikan harus dibuat mana yang perlu pada busana terbabit sebelum malam esok!

Masalah paling utama seluar putih mereka ialah cawat yang terlalu rendah sedangkan diameter kaki seluar tidaklah jauh beza dengan saiz seluar baju melayu biasa, menyukarkan mereka untuk duduk atau berkopak zapin pekajang! Seluar Thabrani siap terkoyak lagi di tengah semasa latihan ‘full dress’.

“Sempat ke budak-budak ni nak bersiap esok?” Tanya cikgu Azma yang bertanggungjawab atas kumpulan kami.
“Sempat. Mesti sempat!” jawab aku sambil menelan air liur.

Petang itu aku bergegas ke Pasar Besar Keramat untuk mengambil baki 2 songkok yang terpaksa ditempah saat akhir pada Isnin sebelumnya lantaran saiz yang mereka pandukan dari songkok mereka terlalu besar, sampai ke telinga jatuhnya! Nasib baik siap juga songkok tu!

Malam tu malam paling panjang bagi Alan yang terpaksa me’repair’ kesemua 14 seluar putih tadi!